KUALA LUMPUR, 5 Feb – PENGGANAS….Strategi menghadapi ancaman pengganas di rantau ini, dijangka menjadi antara perkara utama yang akan dibincangkan pada sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN, bermula di Singapura semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan dibangkitkan berasaskan dua tema utama iaitu ketahanan dan inovasi.

“Menteri-Menteri Luar ASEAN dijangka membincang dan menumpukan strategi mengukuhkan ketahanan kolektif ASEAN terhadap ancaman dan cabaran umum seperti terrorisme dan keganasan melampau, isu maritim dan ancaman siber.

“Sesi pemukiman ini juga dijangka membincangkan skim yang boleh menggalakkan inovasi di rantau ini, selain pembangunan ASEAN dalam usaha membina komuniti dan hubungan luar negara ASEAN.

“Memandangkan ini adalah kali pertama Menteri-Menteri Luar ASEAN akan bermesyuarat semasa Kepengerusian ASEAN di Singapura, perbincangan sesi pemukiman ini dijangka memberi impak penting dalam meletakkan asas bagi inisiatif dan kemajuan ASEAN sepanjang tahun ini,” kata Wisma Putra itu.

Pada sesi pemukiman selama tiga hari itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia yang dibarisi beberapa pegawai kanan kementerian berkenaan.

Ia akan didahului dengan beberapa mesyuarat penting seperti Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN hari ini, disusuli Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN hari ini.

Anifah dijangka mengutarakan beberapa isu serantau penting yang mempunyai implikasi langsung terhadap keamanan dan kestabilan serantau dan negara. – WD MY