KUALA LUMPUR, 31 Dis – Liima pekerja warga asing cedera dengan seorang daripadanya parah apabila sebahagian struktur Melawati Mall di Taman Melawati, Kuala Lumpur yang dalam pembinaan, runtuh malam tadi.

Berikutan kejadian kira-kira jam 10 malam itu, semua buruh binaan warga Indonesia dan Bangladesh itu dihantar ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata kejadian dipercayai berlaku apabila perancah di tapak pembinaan itu tiba-tiba runtuh dan menghempap pekerja terbabit.

“Lima pekerja cedera dan seorang daripadanya parah. Pekerja yang parah terperangkap, namun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

“Ketika kejadian terdapat 25 pekerja di tapak pembinaan itu,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian.

Mohd Sani berkata bomba sedang melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi mangsa berada di bawah runtuhan itu.

Menurutnya, khidmat unit anjing pengesan turut digunakan, sekiranya masih terdapat mangsa di bawah runtuhan. Punca sebenar runtuhan masih dalam siasatan, tambahnya.

Operasi mencari dan menyelamat disertai kira-kira 50 anggota terdiri daripada bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Pengarah Projek Bina Puri Holding Berhad Anthony Lee berkata pihaknya akan menyalurkan pampasan terhadap kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden itu.

“Kesemua pekerja telah dilindungi insurans,” katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY