KUALA LUMPUR, 22 Julai – JANGAN… Setiausaha Akhbar Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Tunku Abaidah menggesa pihak-pihak tertentu agar tidak mempolitikkan majlis keagamaan yang dianjurkan di kediaman presiden PKR itu.

Tunku Nashrul menjelaskan, majlis selawat dan zikir itu merupakan majlis keagamaan yang dianjurkan setiap hari Ahad, malam Isnin sejak enam bulan lalu.

“Cubaan mengaitkan penganjuran majlis zikir dan selawat di kediaman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai majlis politik adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan amat mengecewakan.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk berhenti mempolitikkan penganjuran majlis keagamaan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tengku Nashrul bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan itu.

Semalam, Anwar dan timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali mengadakan majlis keagamaan berasingan pada hari yang sama.

Azmin mengadakan majlis kesyukuran di kediaman rasmi menteri besar Selangor, manakala di kediaman Anwar pula berlangsung majlis pelancaran zikir dan selawat.

Dua majlis agama itu diadakan ketika pergeseran antara kedua-dua pemimpin itu sedang hangat diperkatakan.

Penganjuran kedua-dua majlis itu juga hadir ketika isu klip video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin menyebabkan pergolakan dalaman PKR.

Azmin menafikan beliau individu dalam video berkenaan, malah mendakwa ia perancangan dari dalam PKR sendiri untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Sebelum ini Anwar menggesa Azmin meletakkan jawatan jika video seks berkenaan terbukti benar.

Ini mendorong Azmin mengatakan presiden PKR itu – yang pernah disabitkan kesalahan liwat – agar mencermin dirinya terlebih dahulu.

Anwar kemudian  mengendurkan pendiriannya terhadap Azmin pada majlis pemukiman PKR di Port Dickson. – WD MY