Suami Isteri Maut Van Terjatuh Gaung

0
47

PASIR MAS, 17 Jun – Maut…… Suami isteri maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung akibat tayar pecah di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, dekat Batu Karang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, rakyat Thailand, Jehsalamae Ma-Ae, 48, dan isterinya warga tempatan, Noorashikin Berahang, 45, tercampak dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak pasangan terbabit, Mustaqim Jehsalamae, 22, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkata pihak polis menerima laporan jam 6.40 pagi oleh orang awam mengenai kemalangan maut itu.

“Hasil siasatan awal mendapati tiga beranak yang menaiki van jenis Ford Spextron menghala ke Pasir Mas dari rumah mereka di Rantau Panjang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri van terbabit pecah menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam gaung.

“Pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan meninggal dunia akibat parah kepala manakala anak mereka hanya cedera ringan,” katanya.

Ibrahim berkata, mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat. – WD MY