KUANTAN, 1 Dis – TAHAN…. Suami isteri ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penipuan umrah membabitkan kerugian lebih RM350,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata suspek lelaki berusia 47 tahun dan isterinya berusia 43 tahun ditahan di sebuah premis di Bukit Sekilau di sini, Selasa lalu.

Katanya, pasangan berkenaan yang diburu sejak lima bulan lalu ditahan susulan laporan polis terbaru dibuat seorang guru yang mengalami kerugian lebih RM40,000.

“Bertindak hasil maklumat mangsa, kita melakukan serbuan di sebuah premis sebelum menahan dua suspek berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Mereka ditahan reman sehingga Ahad dan berkemungkinan besar dituduh Isnin depan,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai pengurus cawangan di sebuah agensi pengurusan umrah di Kuantan memperdayakan mangsa dengan memberikan butiran akaun syarikat didaftarkan atas nama syarikatnya.

“Suspek yang bertanggungjawab menguruskan jemaah umrah berdaftar dengan syarikatnya bekerja, mengambil kesempatan menipu mangsa supaya mendepositkan bayaran ke akaun kepunyaan syarikat milik isterinya.

“Siasatan juga mendapati syarikat didaftarkan atas nama isteri suspek mempunyai nama hampir sama dengan syarikatnya bekerja sekali gus membuatkan orang ramai terpedaya dan mendepositkan wang ke dalam akaun berkenaan,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati seramai 48 jemaah umrah dari seluruh negara membabitkan kerugian lebih RM350,000 dan pihaknya masih menjalankan siasatan. – WD MY