KUALA LUMPUR, 7 Julai – Tahan…… ┬áLelaki tempatan dan isterinya warga Indonesia ditahan bersama dua kilogram (kg) syabu dan 1,200 biji pil Erimin 5 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di sini.

Dalam serbuan kira-kira 3.03 petang semalam itu, kesemua dadah dianggarkan bernilai RM129,600 ditemui dalam sebuah bilik dalam rumah berkenaan yang turut didiami tiga anak pasangan terbabit.

Bagaimanapun, ketika serbuan dibuat, semua anak suspek yang berusia antara 12 hingga 18 tahun tiada di rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Guan Beng Kang, berkata siasatan ke atas pasangan suami isteri berusia 41 dan 37 tahun mendapati mereka aktif mengedar dadah sejak lebih setahun lalu.

“Pil Erimin 5 itu adalah untuk pasaran tempatan manakala syabu berkenaan untuk dipasarkan ke negara jiran dipercayai Indonesia. Kita masih menyiasat dari mana mereka mendapat bekalan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan modus operandi sebenar suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pasangan suami isteri itu kini direman tujuh hari sehingga 13 Julai depan bagi membantu siasatan. – WD MY