KUALA LUMPUR, 9 Julai – HADIAH…Datuk Farid Kamil menghadiahkan Datin Diana Danielle simulator bagi memantapkan skil di litar dan┬ámemberi galakan untuknya menjadi pelumba kereta selepas terbabit dalam program Toyota Gazoo Racing.

“Tahun ini adalah musim kedua saya bersama pasukan Toyota Gazoo Racing. Memang mencabar… Ini kerana sebelum ini, saya tak biasa memandu kereta secara manual.

“Namun, kami diberi latihan intensif oleh jurulatih bertauliah sebelum masuk ke litar. Hasilnya, sepanjang musim lalu, saya sudah beberapa kali naik podium menerima trofi.

“Kali ini, suami saya sekali lagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi. Apa yang menariknya, dia menghadiahkan simulator lumba kereta supaya saya boleh berlatih di rumah,” katanya.

Suntikan semangat insan tersayang selain pengalaman diraih sepanjang siri perlumbaan membuatkan dirinya teruja mengejar impian menjadi pelumba kereta.

Tambah Diana, kemahiran berlumba tidak dijadikan alasan untuk memandu laju di jalan raya sebaliknya dia lebih berhati-hati mengawal kenderaan.

Selain Diana, Toyota Gazoo Racing turut disertai juara musim lalu, Shawn Lee serta dua selebriti yang bersaing dalam musim pertama iaitu Shukri Yahaya dan Janna Nick. – WD MY