KUALA LUMPUR, NOVEMBER 16: SUARA RAKYAT…. Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kecewa dengan sikap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang sering mengganggu pemimpin blok pembangkang membawa suara rakyat.

Jelas beliau, sikap Jelutong ini adalah sangat tidak profesional dan mungkin ditugaskan untuk mengganggu supaya Ahli Parlimen pembangkang hilang fokus.

“Saya berasa kecewa kerana kita bercakap mewakili rakyat tetapi mereka mengganggu… mesej yang saya hendak sampaikan untuk bantu rakyat mungkin tidak disenangi oleh PH (Pakatan Harapan). Sikap Jelutung sememangnya tidak profesional dan tugas dia saya percaya untuk mengganggu setiap ucapan supaya kita hilang fokus.

“Saya juga ingin katakan… cukuplah dengan sikap ‘blaming game’ kerana setiap kali bercakap mereka mesti salahkan kerajaan terdahulu. Tun Daim (Zainuddin) pun sudah menegur sikap mereka ini kerana tanggungjawab sekarang adalah kepada mereka jadi mereka harus bekerja untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga,” katanya.

Tambah Ismail, kerana diganggu, beliau tidak berpeluang untuk menggesa kerajaan baru PH agar meneruskan insentif kepada pesawah dan insentif pendaratan ikan.-MY WD