KUALA LUMPUR, 18 Okt – Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berjanji akan memastikan pemilihan semula parti yang dijadual berlangsung pada 6 Nov depan berjalan dengan sihat dan lancar.

Menurut beliau berkata pemilihan semula itu bertujuan untuk memperkasa dan mentransformasikan parti berusia 69 tahun itu selain mengelak berlakunya pepecahan dalam kalangan anggota parti.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menegaskan, beliau tidak akan menyokong mana-mana pihak dalam pemilihan semula parti berkenaan kerana semua calon yang bertanding merupakan penyokongnya termasuk calon bagi jawatan timbalan presiden.

“Sejak dari awal mesyuarat, saya berpendirian ini (pemilihan semula) adalah proses demokratik. Jadi saya tidak membuat keputusan menyokong sesiapa, satu daripada alasannya ialah kerana calon yang bertanding merupakan sebahagian daripada kumpulan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Menara Felda hari ini.

Turut hadir Naib Presiden MIC Datuk M. Saravanan, bekas Naib Presiden MIC Datuk S.K Devamany dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC P. Kamalanathan, Ketua Pemuda C.Sivarraajh dan Ketua Wanita M.Mohana bersama-sama 1,500 perwakilan.

Beliau mengulas mengenai cadangan beberapa anggota MIC supaya tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan timbalan presiden kerana khuatir ia akan memecah-belahkan parti itu,

“Mungkin setiap orang mempunyai cita-cita politik mereka sendiri. Bagi kami untuk menyatakan anda tidak boleh meneruskan aspirasi anda, adalah sesuatu yang agak sukar dilakukan. Akhirnya, kita perlu bersatu dan bersama-sama meneruskan agenda,” katanya.

Pemilihan semula MIC bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden antara Saravanan dan Devamany dan persaingan itu dijangka akan menghangatkan pemilihan semula parti berkenaan. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY