KUALA LUMPUR, 5 Dis – Tunggu Laporan….. Pihak Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi-agensi terbabit mengenai kebakaran tingkat dua unit rawatan rapi selatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru pada 25 Oktober lalu.

Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata setakat ini, pihaknya telah menerima laporan awal daripada HSA mengenai kejadian itu dan sedang menelitinya.

“Kami berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai perkara terperinci (laporan) dan menunggu laporan JKR dan agensi lain sebelum kita boleh membuat keputusan tentang kejadian itu,” katanya kepada media selepas melawat Hospital Ampang dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam berkata kementerian bercadang menambah baik fasiliti di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang dalam masa terdekat.

Ini kerana, katanya, ramai pesakit mendapatkan rawatan bagi kes-kes bukan kecemasan di jabatan kecemasan hospital itu.

“Mereka (pesakit) menyatakan bahawa ia (jabatan itu) adalah tempat di mana mereka boleh datang dan mendapatkan rawatan serta merta berbanding tempat lain di mana mereka perlu membuat temu janji.

“Proses ini perlu dipermudahkan supaya orang ramai boleh menghubungi dan pergi ke bahagian berkenaan…jadi, mereka tidak perlu ke jabatan kecemasan untuk kes seperti selesema dan batuk,” katanya.

Dr Subramaniam berkata kementerian akan meninjau klinik-klinik di kawasan itu untuk meningkatkan keupayaan merawat kes-kes bukan kecemasan.

 

“Ini adalah sebahagian daripada cara di mana kita cuba mengoptimumkan kemudahan di klinik supaya hospital digunakan dengan sewajarnya,” katanya. – WD MY