KUALA LUMPUR, 26 APRIL – SASAR…. Isu subsidi bersasar yang akan diguna pakai kerajaan dalam pemberian petrol tidak lama lagi tidak perlu dijadikan perdebatan politik.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata subsidi pukal yang digunakan kini sudah tidak relevan dan ianya hanya menguntungkan sesetengah pihak saja.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan, adalah penting memikirkan soal kos sara hidup rakyat dan menumpukan pemberian subsidi kepada golongan sasar.

“Isu ini memerlukan perbincangan yang panjang dan lengkap kerana subsidi pukal yang digunakan ketika ini tidak boleh lagi diguna pakai kerana ia akan memberikan keuntungan kepada setengah pihak saja.

“Kenapa kita perlu beri subsidi kepada golongan yang mampu sedangkan masih ramai yang betul-betul memerlukan subsidi.

“Subsidi seharusnya diberikan kepada golongan yang memerlukan, mereka yang layak menerima skim bantuan sara hidup. Malah subsidi kepada pengangkutan awam juga memberikan bantuan kepada golongan sasar.

“Perlu ada perbincangan yang adil dan matang mengenai perkara ini. Tidak perlu dijadikan bahan politik kerana rakyat perlu memahami kesan subsidi pukal kepada kewangan negara,” katanya selepas Forum Ekonomi Malaysia, Isu dan Cabaran.

Ketika ditanya adakah pendiriannya ini berbeza dengan pendirian rakan sejawatnya di dalam Barisan Nasional, Kairy berkata, apa yang harus dilakukan adalah menyampaikan pandangannya.

“Ada perkara boleh bincang dalam sudut politik tetapi ada cara perlu lihat dari sudut ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Chin Tong berkata, pemberian subsidi bersasar petrol turut membantu meningkatkan kemudahan pengangkutan awam yang lain secara keseluruhannya.

Tong berkata, jika subsidi bersasar dilaksanakan kelak tetapi negara masih lagi mempunyai jalinan pengangkutan awam yang tidak menyeluruh, ia akan memberikan kesulitan kepada rakyat.

“Jika subsidi bersasar ini diberikan kepada golongan sasar, kita perlu berikan penyelesaian yang lain kepada golongan yang tidak mendapat subsidi ini.

“Lantaran itu pelaburan perlu diberikan dalam meningkatkan jalinan pengangkutan awam. Perkara ini bukan formula dalam jangka masa pendek kerana rakyat kita masih bergantung kepada kereta yang menjadi sebahagian daripada keperluan mereka,” katanya. – WD MY