TANJUNG MALIM, 6 Julai – Satukan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sukan rakyat berasaskan kaum boleh dipertandingkan dalam kejohanan tempatan bagi membentuk masyarakat saling hormat menghormati.

Ahmad Zahid berkata ia juga melambangkan kepelbagaian dan keunikan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sukan adalah bidang yang terbukti dapat menyatukan segenap kaum, malah ia mampu berperanan memperkukuh rasa sayang dan cinta kepada negara.

“Ini boleh dilihat dengan sokongan rakyat pelbagai kaum kepada atlet kita yang mencapai kejayaan dalam kejohanan antarabangsa, sama ada Sukan Olimpik atau Sukan SEA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan pelancaran Sukan India Malaysia (SUKIM) 2017 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

SUKIM adalah acara tahunan membabitkan penyertaan kira-kira 1,800 atlet serta pelapis dari kalangan masyarakat India, membabitkan 11 acara.

Ia bermula sejak 2014, dengan Kedah menjadi tuan rumah pertama diikuti Johor serta Negeri Sembilan, dan tahun ini, Perak.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan dan peruntukan dalam pelbagai bentuk bagi meningkatkan mutu sukan negara, termasuk dalam bidang pembangunan sukan.

Beliau juga berharap penganjuran sukan seperti ini akan membantu negara melahirkan lebih ramai atlet berjaya dan mampu membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

“Saya ucap tahniah kepada penganjur. Adalah diharapkan semua pasukan mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang dengan menunjukkan semangat kesukanan tertinggi,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, pemilihan negeri ini juga bertepatan seiring usaha kerajaan negeri mempromosikan Tahun Melawat Perak 2017. – WD MY