Sukan Rapatkan Perpaduan Rakyat Negara Ini Kata PM Najib

0
82

KUALA LUMPUR, 14 Okt – GAYA HIDUP…… Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sukan bukan sahaja penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat, malah wadah terbaik perpaduan rakyat negara yang terdiri daripada berbilang kaum.

Najib berkata, sukan juga antara elemen penting dalam membentuk generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan beliau menyeru rakyat supaya terus amalkan budaya bersukan sekali gus menjadikan Malaysia negara yang sihat.

“Kita adalah negara berbilang kaum dan wadah terbaik satukan kita semua adalah melalui sukan.

“Semangat cinta pada negara terbukti menerusi sokongan kita semua pada temasya Sukan Sea 2017 dan hasilnya kita berjaya jadi juara keseluruhan dengan memperoleh 145 emas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2017, di Dataran Keris, Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin serta barisan atlet negara yang turut meluangkan masa bersama pengunjung.

Pada masa sama, Najib turut berharap Hari Sukan Negara yang dianjurkan untuk tahun ketiga ini akan mendapat penyertaan lebih ramai berbanding tahun lalu.

“Saya difahamkan tahun lalu kita mendapat penyertaan lebih 7.6 juta orang dan saya berharap jumlah peserta akan bertambah pada tahun ini.

“Kajian menunjukkan kadar obesiti rakyat negara ini tertinggi di Asia. Sebab itu sukan harus dijadikan amalan rutin dan bukan sekadar pada sambutan hari sukan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2017 di Kompleks Sukan Bukit Jalil. – WD MY

INFO

Hari Sukan Negara 2015 disertai 5.1 juta orang

Hari Sukan Negara 2016 disertai 7.6 juta orang.