KUALA LUMPUR, 14 Sept – TAMBAH…… Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, membeli tambahan 874,100 saham dalam 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dalam tempoh 7 September hingga 12 September.

Demikian menurut kenyataan yang difailkan syarikat itu di Bursa Malaysia hari ini.

Sultan Ibrahim yang muncul pemegang saham tunggal kedua terbesar dalam 7-Eleven Malaysia sejak bulan lalu, kini mempunyai sejumlah 104.37 juta saham, bersamaan 9.4 peratus.

Pemegang saham terbesar syarikat itu adalah Tan Sri Vincent Tan yang juga adalah pemilik Berjaya Group.

Pada 1 Ogos, pengendali rangkaian kedai serbaneka itu melantik Ho Meng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu menggantikan Gary Thomas Brown yang meletak jawatan pada awal Julai.

Ho Meng pernah memegang pelbagai jawatan di 7-Eleven, termasuk sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif dan juga pengarah bukan eksekutif. – WD MY