JOHOR BAHRU, 10 APRIL – TITAH…. Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya “pihak tertentu” berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik.

Tanpa menyebutkan nama secara khusus, baginda menyarankan pihak itu tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan.

“Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” titahnya.

Ketegangan timbul antara istana Johor dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu ratifikasi Statut Rom untuk melibatkan negara ini dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Mahathir semalam memberi amaran bertindak terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mengkritik usaha itu yang didakwa akan mengancam kedudukan Yang di-Pertuan Agong, Melayu dan Islam.

Ketegangan itu ditambah lagi dengan pengosongan kerusi menteri besar Johor yang kedua-dua pihak (istana dan parti pemenang dalam pilihan raya) mendakwa mempunyai hak menentukan siapa pengganti Osman Sapian.

Dalam kenyataan di Facebook, baginda berkata sedang berada di luar negara.

Bagaimanapun, titahnya, baginda sentiasa mengikuti perkembangan dalam negara terutama negeri Johor melalui laporan-laporan semua pihak. – WD MY