JOHOR BAHRU, 17 FEB – MURK….Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan rasa murka terhadap tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang dikatakan memberi ceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Dalam kenyataan yang disiarkan laman Facebook rasmi baginda hari ini, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa menjadi peraturan bagi semua masjid di Johor iaitu tidak sesiapa dibenarkan berceramah terutama dalam masjid atau kawasan sekitarnya, kecuali yang mendapat tauliah dan kebenaran yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dulu lagi. Ini adalah tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecah belahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Pada Jumaat, viral di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan menteri Kabinet kerajaan PH berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda turut menitahkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin berkenaan sedar akan kesilapan yang dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah baginda.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, ketika dihubungi menafikan beliau memberikan ceramah politik dalam masjid berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), berkata beliau melawat beberapa kawasan Parlimennya semalam di Pulai sebelum singgah di Masjid Kolam Air untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari dan 20 minit sebelum azan, imam masjid memanggil saya untuk memberikan tazkirah kepada jemaah.

“Saya bercakap kira-kira 10 minit berkisar amalan berbuat baik di kalangan masyarakat.

“Saya tidak langsung berceramah mengenai politik apatah lagi memberhentikan khutbah Jumaat seperti didakwa di dalam media sosial.

“Saya sudah berkecimpung 35 tahun dalam dunia politik dan tidak sebegitu bodoh untuk memberikan ceramah politik di dalam masjid. Video 45 saat yang disebarkan itu tidak menggambarkan tazkirah penuh yang saya sampaikan,” katanya. – WD MY