JOHOR BAHRU, 16 DIS – RAIKAN….. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Bersama Masyarakat India di Dewan Serbaguna Segamat, dekat sini, hari ini.

Menerusi status Facebook rasminya, Sultan Ibrahim kelihatan gembira bergambar dan bersalaman dengan pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sultan Ibrahim yang sentiasa menitikberatkan keharmonian dalam kalangan Bangsa Johor dan menjadi tunjang perpaduan negeri ini tiba di Dewan Serbaguna Segamat pada jam 12 tengah hari disambut meriah dan diiringi muzik serta persembahan tradisional masyarakat India.

Lebih 500 tetamu pelbagai kaum dan agama hadir pada majlis anjuran Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor, Dr S Ramakrishnan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok.

Sultan Johor meluangkan masa selama hampir sejam pada majlis itu dan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bersalaman serta bergambar bersama Sultan Ibrahim.

Sebelum berangkat pulang, baginda berkenan menandatangani plak serta bergambar bersama M Kandapan dan keluarga, individu yang mengambil inisiatif menghias keretanya dengan gambar keluarga Diraja Johor sejak lima tahun lalu. – WD MY