JOHOR BAHRU, 13 FEB – SULTAN JOHOR…… Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, bagi mempersembahkan perkembangan persiapan sambutan ulang tahun baginda pada 23 Mac ini.

Melalui catatan di dalam akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Abdul Rahim dilaporkan memohon perkenan baginda mengenai persiapan serta majlis istiadat yang akan berlangsung pada hari berkenaan.

Yang turut hadir pada pertemuan hampir sejam di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi di sini, adalah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Datuk Penghulu Istiadat, Datuk Abdul Latiff Yusuf.

Catatan itu turut menyebut, sambutan akan dimulakan dengan acara Istiadat Meletak Kerja yang dijadualkan berlangsung di Istana Besar pada 18 Mac depan, diikuti dengan majlis lain termasuk Jamuan Teh Bersama Rakyat.

Abdul Rahim berkata, majlis Jamuan Teh adalah acara yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat untuk bertemu dengan Sultan Ibrahim serta keluarga Diraja Johor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menggesa rakyat supaya menggunakan platform aduan awam yang disediakan kerajaan negeri untuk menyampaikan masalah mereka supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelesaikannya.

Melalui catatan dalam laman Facebook rasmi baginda, HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail bertitah platform berkenaan adalah satu usaha yang baik untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam negeri ini.

Titahnya, aduan yang disalurkan ke laman web http://johor.spab.gov.my/eApps/system/index.do membolehkan masalah rakyat dikenal pasti oleh kerajaan negeri, seterusnya usaha menyelesaikannya dapat dilakukan.

Tunku Ismail turut bertitah, antara sebab baginda aktif dalam media sosial adalah untuk memudahkan interaksi dengan rakyat tanpa sebarang protokol.

“Saya gembira berpeluang mempengaruhi rakyat dengan nilai positif berkenaan Johor dan dari semasa ke semasa, mengingatkan rakyat betapa pentingnya untuk kita kekal muafakat dalam memastikan negeri ini terus maju ke hadapan,” titah baginda dalam catatan berkenaan.

Tunku Ismail bertitah, baginda juga mengambil maklum aduan yang diutarakan kepada baginda melalui media sosial merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk isu perumahan, bantuan kebajikan, pendidikan dan infrastruktur.

“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk bantu sesiapa yang memerlukan,” titah baginda. – WD MY