KANGAR, 2 Ogos – Berjaya…… Plat pendaftaran baharu bermula RR di Perlis mendapat sambutan tinggi, dengan dua daripadanya iaitu RR6 dan RR9 sah menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Keputusan tawaran bidaan yang dikeluarkan hari ini dan mula tersebar melalui media sosial, turut memaparkan nama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang memenangi bidaan bagi nombor pendaftaran RR11.

Jurucakap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, ketika dihubungi mengesahkan Sultan Muhammad V memenangi bidaan nombor RR6 dan RR9 dengan nilai masing-masing RM459,800 dan RM396,980.

Sementara Sultan Selangor pula, katanya memenangi bidaan nombor pendaftaran RR11 dengan nilai RM268,400.

“Nilai bidaan bagi RR6 adalah yang tertinggi pernah direkodkan bagi nombor pendaftaran di Perlis, mengatasi nilai paling tinggi sebelum ini iaitu RM297,000 bagi nombor RM8,” katanya.

Jurucakap sama berkata, seramai 7,960 individu membuat bidaan untuk nombor pendaftaran RR yang dibuka antara tempoh 5 hingga 19 Jun lalu, dengan hanya 2,253 berjaya.

Keputusan bidaan nombor plat berkenaan ditampal di papan kenyataan di Pejabat JPJ Perlis, selain laman Facebook rasmi jabatan itu bermula jam 8 pagi tadi. – WD MY