KUALA LUMPUR, 16 April – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah hari ini merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan RapidKL
LRT dan monorel di sekitar Lembah Klang.

Baginda tiba di Stesen LRT Kelana Jaya dan mendengar taklimat Pengerusi
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tan Sri Ismail Adam dan Pengarah Urusan
Kumpulan Azmi Abdul Aziz sebelum menaiki Putra LRT melalui sembilan stesen
menuju KL Sentral.

Sebaik tiba di KL Sentral, Sultan Selangor disambut oleh Pengerusi
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar dan
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Rombongan berkenaan meneruskan perjalanan dengan menaiki monorel terbaru
dari Stesen KL Sentral menuju Stesen Bukit Nanas.

Jurucakap diraja berkata lawatan tersebut dijadual berikutan titah
baginda pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada awal bulan ini.

“Tuanku meluahkan keprihatinan terhadap pengangkutan awam dan memandangkan
tiga suku daripada laluan berada dalam negeri Selangor, baginda mahu merasai
sendiri pengalaman menaikinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, Sultan Selangor memuji Prasarana atas kejayaan mengoperasikan
pengangkutan awam dengan baik dan berharap rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya
perkhidmatan pengangkutan awam kerana ia juga dianggap mesra alam.

Sementara itu, Ismail berkata Sultan Selangor telah terlebih dahulu
menyatakan hasrat merasai sendiri pengalaman menggunakan pengangkutan awam
terutamanya sistem landasan.

“Selepas kunjungan hari ini, Tuanku Sultan melahirkan keyakinan bahawa
pengangkutan awam merupakan stau cara mengatasi masalah lalu lintas di Lembah
Klang,” katanya.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY