KUALA LUMPUR, 12 Sept – AMBIL ALIH….. Sunway Bhd merancang mengambil alih lebih banyak kawasan yang mempunyai rangkaian kemudahan ke pembangunan berorientasikan pengangkutan awam transit (TOD), kata Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Malaysia dan Singapura, Sarena Cheah.

TOD melibatkan jenis pembangunan bandar yang memaksimumkan jumlah penduduk, perniagaan dan ruang rekreasi, dan berdekatan pengangkutan awam.

Cheah berkata kumpulan itu telah mengambil alih lima plot berasingan di Lembah Klang, termasuk di Kajang dan Wangsa Maju, sejak Januari, bernilai RM5.5 bilion.

“Tindakan ini penting kerana kami mahu mempelbagaikan kehadiran kami di kawasan yang mempunyai rantaian jalan dan pengangkutan awam yang baik seperti Mass Rapid Transit (MRT) dan Light Rapid Transit (LRT).

“Justeru, kami sedang mencari lebih banyak kawasan untuk pembangunan TOD, memandangkan apabila projek MRT dan LRT siap, ia akan menambah nilai,” katanya kepada media selepas mengumumkan pembukaan hotel terbaharu Sunway Hotels & Resorts, Sunway Velocity Hotel, pada 20 Sept.

Sunway Velocity Hotel bernilai RM140 juta merupakan satu-satunya hotel berorientasikan transit, selain hotel teresar dan bersepadu di Cheras. – WD MY