KUALA LUMPUR, 23 Feb – Kementerian Pertahanan Malaysia dan
Kementerian Pertahanan Nasional Kemboja hari ini menandatangani Surat Hasrat
untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan hubungan bagi kerjasama pertahanan
antara kedua-dua negara.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyatan hari
ini berkata surat itu menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama
pertahanan dan hubungan rakyat dengan rakyat melalui kerjasama ketenteraan.

“Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada latihan tentera, pertukaran
kakitangan, perkongsian maklumat dan penggunaan kemudahan,”katanya

Hari ini, Hishammuddin menghadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri
Kemboja dan Menteri Pertahanan negara itu Jen Tea Banh di Phnom Penh, Kemboja.

Tambah beliau, oleh kerana terdapat keperluan bagi kerjasama yang berterusan
dan efektif demi kepentingan kedua-dua negara, kedua-dua kementerian akan
berusaha untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk merealisasikan dan
melaksanakan kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan Kemboja.

Beliau berkata, semasa mesyuarat dua hala, kedua-dua kementerian juga
bersetuju untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk memajukan
lagi bidang-bidang tertentu bagi faedah bersama.

Hishammuddin berkata, beliau dan Banh bersetuju bahawa usaha-usaha Bantuan

Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di rantau ini perlu dikongsi bersama antara semua
negara anggota ASEAN. Katanya beliau akan berlepas ke Laos esok untuk mengadakan pertemuan dengan
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Sengnuan Saiyalath.- Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY