KUALA LUMPUR, 4 Sept – SURUHANJAYA POLIS…… Pemilihan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar diputuskan menerusi Suruhanjaya Polis, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi menjelaskan mengapa pelantikan jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak mengekalkan cara tradisi.

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Noor Rashid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

“Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilantik Pengarah Cawangan Khas PDRM yang baharu berkuat kuasa hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid secara peribadi menyifatkan Khalid sebagai pegawai luar biasa dan amanah dalam melaksanakan tugasan diberi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan paling ketara Khalid adalah menerusi Ops Cantas Khas dan penubuhan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

“Saya menghargai jasa beliau selama berada dalam jawatan dan menyatakan penghargaan peribadi hari ini pada mesyuarat khas pagi tadi.

“Beliau adalah Ketua Polis Negara yang amat luar biasa kerana kesetiaan tidak pernah luntur dalam semua situasi.

“Setiap masalah diatasi dengan profesional. Masih ada ruang harus dilakukan kepemimpinan baharu dan saya akan bertindak secara dasar.

“Saya beri kuasa sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara baharu dan timbalannya,” katanya.

Walaupun kekal sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, gred jawatan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dinaikkan kepada Turus 3, kata Ahmad Zahid. – WD MY