JOHOR BAHRU, 25 Okt- ¬†Tubuh Suruhanjaya………… Pihak Kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bagi melakukan siasatan berhubung kejadian kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), pagi tadi kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata suruhanjaya itu juga akan meneliti beberapa aspek penting, termasuk keselamatan bangunan dan kemudahan pesakit.

“Kita akan melakukan siasatan terperinci bukan hanya pada hospital ini, tetapi juga akhirnya kertas siasatan ini akan diguna pakai untuk semua hospital terutama yang harus diubah suai atau dinaik taraf di seluruh negara.

“Aspek keselamatan dan jalan yang melalui rumah sakit di seluruh negara juga harus dilihat,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke HSA, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selain itu, kerajaan juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Beliau berkata, kerajaan mengambil dua langkah iaitu jangka pendek dan jangka panjang di HSA.

“Pertama kita akan menyediakan kemudahan unit rawatan rapi (ICU) di satu lokasi di hospital ini dengan peralatan yang cukup.

Langkah jangka panjang pula membaiki kerosakan, termasuk pendawaian semula (di HSA).

“Saya sendiri akan berbincang dengan Perdana Menteri bagi memberikan peruntukan, khususnya bagi perancangan jangka panjang dan penyediaan unit rawatan rapi di hospital ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan melakukan audit forensik dan audit pengurusan untuk melihat sama ada kejadian terbabit berlaku disebabkan kecuaian atau kelemahan dari segi pengurusan di hospital berkenaan.

“Tetapi dalam keadaan sekarang, kita tidak perlu menuding jari (kepada sesiapa) sehingga siasatan lengkap diperolehi kerajaan kelak.

“Saya sendiri, insya-Allah, jika diminta, akan melakukan mesyuarat penyelarasan, mengambil tindakan khas seperti yang saya katakan tadi,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan memindahkan HSA ke lokasi lain, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Saya fikir sudah sesuai untuk hospital yang terlalu lama ini bukan sahaja dipindahkan, tetapi juga mendapat bangunan dan peralatan baharu.

“Saya tidak mahu sudah terhantuk baharu kita tersedar. Saya yakin Menteri Kesihatan sendiri akan bawa ke jemaah menteri untuk tindakan segera dilakukan,” katanya. – WD MY