GEORGETOWN, 15 Julai – Ditembak Mati….. Pihak Polis menembak mati suspek utama kes bunuh empat sekeluarga di Batu Maung, semalam berdekatan kuil Buddha Kek Lok Si, di Jalan Pasar, dekat Air Itam, petang Khamis.

Chung Chun Wah, 32, diburu polis sejak awal pagi semalam selepas dia menembak mati empat anggota keluarganya termasuk anak saudaranya yang berusia dua tahun pada jam 2.55 pagi semalam.

Chung ditembak berhampiran kuil Buddha Kek Lok Si, kuil Buddha yang terbesar di Asia Tenggara yang juga tempat tumpuan pelancong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Razaruddin Hussain, berkata polis menembak mati lelaki itu kira-kira jam 7 malam ini.

“Penjenayah berjaya ditumpaskan di pekan Air Itam,” katanya.

Dalam kejadian 2.55 pagi semalam, empat sekeluarga mati ditembak, dipercayai oleh anggota keluarga sendiri menggunakan pistol, di sebuah kilang pemprosesan ayam di kawasan perindustrian Batu Maung.

Suspek kemudian melarikan diri dengan kenderaan pacuan empat roda milik kilang berkenaan dan meninggalkannya di Bukit Mertajam. Tiada senjata ditemui dalam kenderaan yang ditinggalkan itu.

Polis menyifatkan suspek kes bunuh empat beranak termasuk kanak-kanak lelaki berumur dua tahun di kilang pemprosesan ayam di Batu Maung itu sebagai amat berbahaya.

Ini berdasarkan tindakan suspek yang mempunyai hubungan keluarga dengan mangsa, melepaskan 14 tembakan terhadap mereka.

Awal hari ini, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata usaha memburu lelaki berusia 32 tahun itu sedang giat dilakukan dengan bantuan polis Kedah dan Perak.

“Jika dia boleh menembak mati keluarganya termasuk budak berusia dua tahun, dia boleh melakukan apa sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Ghafar berkata polis percaya lelaki terbabit membawa bersamanya pistol yang digunakan untuk menembak Toh Hock Choon, 50, dan pasangannya Tan Saw Sim, 55, Chung Wah Tong, 28, dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Ah Bee, 2.

Berdasarkan rakaman CCTV kesemua mangsa ditembak dari jarak dekat dan Abdul Ghafar berkata polis percaya lelaki terbabit mengambil dadah.

Polis bagaimanapun tidak menemui dadah di tempat kejadian sebaliknya yang ada hanyalah peralatan menghisap dadah, katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY