BANGKOK, 2 Sept – Pihak berkuasa keselamatan Thai menahan seorang
suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan bom di Bangkok dua minggu lepas
di sebuah wilayah dekat sempadan Thai-Kemboja.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha, berkata suspek lelaki itu
ditangkap pagi ini di wilayah Thai, membayangkan yang negara telah mencapai
kemajuan besar dalam kes berkenaan sejak tertangkapnya suspek pertama pada
Sabtu.

“Saya telah diberitahu mengenai penangkapan suspek itu semasa waktu makan
tengah hari. Beliau ditangkap di perkampungan Parai di wilayah Sakeaw,” katanya
pada taklimat media.

Beliau menyifatkan lelaki itu sebagai suspek penting. Wilayah Sakaew
terletak di bahagian timur Thailand dan kira-kira tiga jam perjalanan kereta
dari Bangkok.

Sementara itu, pihak berkuasa Thai enggan menamakan suspek atau
kewarganegaraannya, walaupun media sosial telah memberikan maklumat tersebut.

Menurut maklumat di media sosial, Twitter, aplikasi chatting LINE dan
Facebook, suspek yang ditahan hari ini ialah seorang warga China berusia 25
tahun berasal dari Xinjiang, wilayah kumpulan etnik Muslim Uighur.

Beliau didakwa cuba meninggalkan Thailand secara haram. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY