PUTRAJAYA, 19 OKT – TAHAN…… Pihak Polis menahan tiga lelaki Arab dan seorang wanita warga Malaysia tengah malam tadi susulan kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian di Shaftsbury Square, Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata penahanan dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor jam 12 tengah malam tadi membabitkan seorang lelaki Yaman berusia 22 tahun di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai Seri Kembangan.

“Seterusnya tangkapan lanjut dibuat di Verdi Residence, Symphony Hills Cyberjaya, membabitkan dua warga Libya berusia 24 dan 20 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun berasal dari Sabah.

“Sebuah kereta jenis Hyundai berwarna perak yang terbabit dengan kes berkenaan turut dirampas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Aziz berkata, semua tangkapan membabitkan pelajar di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya.

“Salah seorang lelaki yang ditangkap mengaku memandu kenderaan Hyundai itu semasa kemalangan,” katanya.

Kelmarin, Wan Amirah Wan Alias, 31, yang cedera parah dirempuh dan diseret sebuah kereta di hadapan bangunan kedai Shaftbury Cyberjaya jam 7.34 petang disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 4 pagi semalam.

Mangsa dirempuh kereta model Hyundai nombor pendaftaran BHS 7999 sebelum pemandunya bertindak melarikan diri.

Video kejadian itu menjadi tular di media sosial yang mendapat kecaman netizen berikutan suspek memandu dalam keadaan berbahaya dan sengaja melanggar mangsa.

Kereta suspek turut merempuh sebuah kereta Proton, Toyota Avanza, Perodua Myvi dan Honda City di lokasi sama sebelum melarikan diri.

Susulan itu pihak polis berusaha mengesan pemilik dan pemandu kereta dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semua suspek terbabit akan di bawa ke Mahkamah Sepang hari ini untuk mendapatkan perintah reman. – WD MY