KUALA LUMPUR, 19 Jun – Lapan suspek yang merampas kapal tangki MT
Orkim Harmony ditahan pihak berkuasa Vietnam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (APMM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad
Puzi Ab Kahar berkata mereka ditahan berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam
selepas menceroboh perairan negara itu dengan menaiki sebuah bot penyelamat
berwarna kuning semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan.

“Mereka kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam,” katanya
dalam sidang media mengenai perkembangan kapal tangki MT Orkim Harmony di sini
hari ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam Twitter
beliau memuat naik gambar lapan lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes
MT Orkim Harmony.

“Lapan warga Indonesia ditemukan di Tho Chu Island pada 19 Jun, pukul 0630.
Kami sedang menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa,” kata Abdul Aziz dalam
tweet yang memuat naik gambar berkenaan.

Ahmad Puzi berkata pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam
bagi mendapatkan kerjasama untuk membawa penjenayah itu ke Malaysia.

Beliau berkata APMM belum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa negara
itu mengenai kewarganegaraan suspek terbabit dan senjata yang digunakan semasa
rampasan.

“Melalui pengalaman lepas apabila mereka tahu mereka tewas, senjata yang
dimiliki akan dibuang. Buat masa ini kami beri ruang pihak Vietnam buat
siasatan,” katanya.

Ahmad Puzi berkata bagi memastikan penjenayah terlibat tidak terlepas
daripada tindakan undang-undang, pihaknya akan segera merakam percakapan 22 anak
kapal serta menjalankan siasatan forensik ke atas kapal tersebut sejurus
mendarat di Kuantan.

Dalam pada itu, beliau berkata kru kapal warga Indonesia Mavit Matin, 46,
yang bertugas sebagai tukang masak yang ditembak pada paha kiri, hanya mengalami
cedera ringan dan tidak memerlukan pembedahan.

Mengenai kritikan sesetengah pihak bahawa pengawasan kurang berkesan
pihak berkuasa menyebabkan perampas terbabit lolos, Ahmad Puzi berkata dalam
situasi sedemikian keselamatan anak kapal adalah lebih penting.

“Kapal itu bawa minyak yang mudah terbakar…tentulah kami letakkan
keselamataan (kru) sebagai keutamaan. Kes ini konklusif jadi fasa dua yang perlu
kami buat adalah tindakan undang-undang,” katanya.

Semua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan kira-kira 2.30 pagi ini
hasil rundingan pihak berkuasa Malaysia dengan penjenayah berkenaan.

Kapal tangki yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta
itu dilaporkan hilang pada 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan
dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY