IPOH, 3 Dis – Suspek yang berbalas tembakan dengan polis dan menghimpit motosikal seorang anggota trafik hingga cedera, di sini, semalam, belum dapat dikesan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata suspek berkenaan dipercayai berjaya meloloskan diri dari kawasan kebun limau di Kampung Baru, Tambun, selepas polis yang mengepung kawasan itu gagal mengesannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti identiti individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, individu berkenaan dikenali sebagai G Bharathy Vasu atau digelar sebagai Don Tiger berusia 27 tahun beralamat di Kampung Lim Tan, di sini.

“Individu berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata, Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan membabitkan jenayah wang palsu dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, seorang polis trafik cedera selepas dihimpit dan dilanggar seorang penjenayah yang merempuh dua sekatan jalan raya serta berbalas tembakan dengan polis di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY