PUTRAJAYA, 19 Okt – Pencemaran Bakteria Semasa Proses Pengeluaran……. Pihak Kementerian Kesihatan mendapati susu Marigold HL perisa coklat yang menjadi pekat daripada biasa sehingga ditarik dari pasaran sebelum ini, berpunca daripada pencemaran bakteria akibat injap yang rosak semasa pemprosesan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, siasatan kementerian juga menunjukkan syarikat pengeluar, Malaysia Milk Sdn Bhd (Malaysia Milk) sudah mengambil tindakan pembetulan terhadap kerosakan injap berkenaan.

“Kementerian juga sedang memantau proses penarikan balik dan pelupusan produk terbabit bagi memastikan semua produk yang dihasilkan dari tarikh pengilangan produk seperti dalam aduan sehingga masa kerosakan injap dikesan ditarik balik.

“Justeru, kementerian menasihatkan orang ramai supaya mengikut nasihat syarikat berkenaan, jangan meminum produk terbabit dan memulangkannya kembali produk yang dimaksudkan kepada penjual,” katanya hari ini.

Malaysia Milk menarik balik produk susu Marigold HL 200 mililiter dan satu liter daripada pasaran serta-merta kerana terjejas akibat pencemaran bakteria.

Tindakan itu dibuat selepas menerima maklum balas pelanggan berhubung produk susu berperisa coklatnya lebih pekat daripada biasa. – WD MY