KUALA LUMPUR, MEI 18:SUSUN…Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO perlu ambil iktibar dan menyusun semula gerak kerja serta strategi unuk membina semula parti itu yang ‘runtuh’, pasca kekalahan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu.

Menyedari bahawa ia merupakan tugas yang sukar kerana wujud ketidaktentuan dalam kalangan akar umbi, Mohamad Hasan menyatakan kepercayaan beliau bahawa ahli-ahli UMNO masih sayangkan parti itu dan faham bahawa prinsip perjuangan parti itu tetap tidak berubah.

“Maka, marilah kita sama-sama bina semula parti ini, bina semula runtuhan yang telah melanda kita.

“Kita kutip batu-bata, sama-sama kita kutip dan kita susun semula supaya menjadi satu tembok yang baharu, yang lebih kuat, lebih kukuh dan dapat menahan apa juga yang mendatang.”

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya mesyuarat cawangan parti yang bakal berlangsung dari 19 Mei hingga 10 Jun ini dijayakan supaya ahli-ahli akar umbi dapat terus bersatu dan memastikan UMNO kukuh serta kuat sepanjang masa.

“Lima tahun tidak lama, pejam celik kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15. Jadi saya harap semua orang UMNO, mari kita susun kembali ukhuwah sesama kita dan jangan sesekali berpecah,” tegas beliau.-MY WD