KUALA LUMPUR, 3 Dis – Gamat…..Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menjadi gamat apabila wakil Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail atau ‘Syamsul Debat’ membahaskan usul agama dan pendidikan pagi tadi dengan ucapan yang penuh gurauan dan sindiran tetapi membawa maksud yang mendalam.

Beliau yang berucap dalam loghat Negeri Sembilan, secara bersahaja menasihatkan ahli dan pemimpin UMNO untuk menghayati perjuangan parti mengikut landasan Islam dan meninggalkan perkara dilarang agama.

Katanya, sebagai parti yang perjuangannya membela agama, bangsa dan negara, UMNO perlu bersikap seperti orang yang beriman berdasarkan syarat digariskan Nabi Muhammad SAW.

“Nabi berpesan, tiga tanda orang yang beriman itu ialah taat kepada Allah, menjauhkan perkara haram dan berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

“Dalam hal berbuat baik ini, saya bukan hendak bodek atau apa, tetapi saya hendak terus terang, hendak terus terang Perdana Menteri yang juga Presiden kita ini, kalau orang balun dia, dia tetap macam itu saja (tenang).

“Kalau kita, tak tahulah apa jadi. Mungkin sekejap jadi merah, sekejap jadi hijau. Tapi apa yang saya hendak sebutkan, kita harus teruskan berbuat baik kerana sebaik-baik manusia ialah yang boleh beri manfaat kepada orang lain,” katanya.

Syamsul Amri berkata, UMNO perlu membantu rakyat untuk berdepan krisis ekonomi global yang memberi kesan kepada kos sara hidup di negara ini.

“Ini yang berlaku kepada masyarakat dan perlu bantu. Kalau Datuk Seri Presiden boleh memetik kata-kata Nordin Ahmad dalam filem. “(Sambil meniru suara Nordin Ahmad) Ku sangkakan nanas atas permata, rupanya durian tajam berduri. Ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari,” katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan. – WD MY