KUALA LUMPUR, 21 April – Tan Sri Syed Hamid Albar, pernah menjadi Menteri dalam kabinet antara 1999 hingga 2009 dan beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno menggesa kerajaan tampil menjawab segala dakwaan dikemukakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Syed Hamid, kerajaan tidak harus berdiam diri dalam perkara itu.

“Apakah cabaran BN untuk pilihan raya umum ke-14? Strategi tidak jelas. Kredibiliti dipertikai. Pendirian berbeza antara pemimpin. Jawapan kepada isu tidak meyakinkan. Pemimpin cenderung menunjukkan kemewahan,” kata beliau.

Beliau menulis di entri terbaru di blognya di syedhamidalbar44.blogspot.com

Tambah Syed Hamid,perkara itu merupakan antara sembilan cabaran yang perlu dihadapi BN menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Soalan-soalan pokok Tun Mahathir tidak terjawab. Penggunaan media sosial yang meluas dan memihak kepada pembangkang.

“BN tidak ke depan dalam menyerang. Kelihatan lemah kerana BN sendiri tidak mantap,” tulis Syed Hamid.
Katanya, keadaan politik yang “gawat” pada masa ini akan lebih buruk jika BN tidak mampu menjawab kenyataan Mahathir.

Pihak lawan akan untung Tegasnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana Dr Mahathir memiliki sokongan meluas di kalangan ahli parti dan pengundi.

Jika tidak, keadaan ini akan memberi keuntungan kepada lawan BN, kata Syed Hamid.
“Dalam hal ini, pembangkang dilihat tidak perlu bekerja keras, sebaliknya cuma menggunakan kembali peluru yang dihasilkan oleh Tun M untuk menembak Umno dan BN.

“Sama ada Dr Mahathir berjaya atau tidak untuk menjatuhkan Najib, perkara itu masih belum dapat dijangka tetapi apa yang jelas BN rosak teruk. Sama ada boleh dipulihkan atau tidak, hanya akan diketahui selepas PRU 14,” katanya.

Turut mendapat perhatian Syed Hamid ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak diterima baik orang ramai.
Justeru, katanya, GST perlu dikaju semula kerana jika tidak, ia akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

“Pada peringkat ini, penting untuk mereka (BN) keluar dari sindrom berasa selamat atau leka dan hanya mempercayai bahawa mereka tidak boleh dikalahkan,” katanya lagi.
-Faizal Dato Badarudin dan Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY