MUAR, 17 NOV – KALAH…. Semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menuding jari berikutan kekalahan parti kerajaan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.

Sambil menekankan keperluan PH meminta maaf kepada rakyat, Ketua Angkatan Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata keputusan PRK itu adalah isyarat daripada rakyat yang inginkan perubahan dan perlu akur kehendak itu.

“Seperti yang saya katakan dalam kenyataan semalam, kita perlu minta maaf kepada rakyat dan cari jalan ke hadapan bersama-sama.

“Kita tidak boleh menuding jari kerana jurangnya (majoriti) sangat besar. Ini bukan sahaja ‘wake up call’ (peringatan) tetapi yang lebih besar ialah isyarat yang agak jelas daripada rakyat.

“Mereka nak perubahan, mereka mahu suara mereka dapat didengari lebih jelas. Kita perlu akur kehendak rakyat dan itu paling penting sekali,” katanya.

Pada PRK itu, calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi dengan majoriti sebanyak 15,086 undi mengalahkan pencabar terdekat, calon PH, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi pada pertandingan enam penjuru itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui BH pada Program Makan Tengah Hari dan Penyampaian Sumbangan Kepada Asnaf di Pantai Seri Menanti di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menyampaikan bantuan barangan dapur dan bantuan khas RM100 kepada 50 keluarga asnaf di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, program berkenaan untuk meringankan beban golongan terbabit dan pihaknya akan membantu lebih ramai golongan asnaf di kawasan berkenaan kelak.

Ditanya sama ada PH akan membuat kajian berhubung kekalahan parti itu di PRK Tanjung Piai, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH berkata, pihaknya akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

“Saya dah panggil mesyuarat bersama kepemimpinan tertinggi ARMADA dan juga pimpinan tertinggi Pemuda PH.

“Bagaimanapun, paling penting sekali kita perlu akui ini (keputusan) adalah kehendak rakyat. Ini adalah masa untuk kita cuba selesaikan segala masalah rakyat dan itu adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya. – WD MY