KUANTAN,OGOS 3: MOHON MAAF…Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu memohon maaf atas keceluparan beliau menyamakan persatuan belia dengan ‘macai politik’.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah berkata tindakan Syed Saddiq sama sekali tidak boleh diterima dan dikhuatiri memberi contoh tidak baik kepada golongan muda apabila membuat takrifan seperti itu.

Kata beliau, sebagai pemimpin muda, Syed Saddiq sepatutnya menggunakan kaedah lebih baik dengan menyatakan apa yang ingin dilakukan daripada menuduh sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak sebagai ‘macai politik’.

“Yang Berhormat Menteri perlu memohon maaf terhadap kenyataan beliau dalam Dewan Rakyat semalam.

“Sepatutnya beliau melihat ke depan. Kalau ini ditunjukkan oleh menteri muda, saya risau contoh ini bakal dikuti oleh anak muda di luar sana,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata demikian ketika ditemui selepas program Sarapan Pagi bersama masyarakat setempat di Permatang Badak di sini hari ini.-MY WD