PEKAN, 18 Feb – MASALAH….. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menempelak persatuan bola sepak negeri yang bermasalah dan mengambil jalan mudah dengan memohon bantuan kementerian bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata tindakan itu sama sekali salah dan tidak adil kepada persatuan sukan dan bola sepak yang berjaya menguruskan kewangan persatuan dengan baik.

“Tindakan sesetengah persatuan bola sepak negeri ini adalah sangat tidak adil… apabila mereka ada masalah, datang kepada KBS minta peruntukan… ini memang salah. Yang kedua, masalah yang dihadapi mereka (persatuan bola sepak) jadi mereka perlu selesaikan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Merasmikan Bengkel Pembaikan Struktur Pesawat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam memberi tempoh hingga Jumaat lalu kepada persatuan bola sepak yang mempunyai masalah tunggakan gaji menyediakan dokumen kewangan.

Antara pasukan itu adalah FELDA United, Perlis, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Melaka United.

Syed Saddiq berkata, isu tunggakan gaji pemain dan pegawai bola sepak yang bersaing dalam Liga Malaysia bukan sesuatu yang baharu, malah ia permasalahan yang sering didengari KBS saban tahun.

“Saya minta kerjasama FA negeri ambil serius perkara ini, ia berulang setiap tahun. Ambil pemain janji bayar gaji mahal pada awal musim tapi musim belum habis sudah tidak boleh bayar (gaji)…lepas itu beri alasan kita tak jangka perkara ini berlaku,” katanya.

Beliau berpendapat, ketidakcekapan modul pengurusan perniagaan sesetengah persatuan bola sepak negeri menjadi punca kepada kegagalan persatuan membayar gaji pegawai dan pemain tepat pada masanya.

Katanya, KBS sedia berkolaborasi dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak negeri bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu yang sedang hangat melanda arena bola sepak negara.

Ditanya mengenai pembabitan pemain bola sepak dengan sindiket mengatur perlawanan atau bookie, Syed Saddiq berkata perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan.

”Kalau ada masalah yang bertentangan (sindiket mengatur perlawanan) biar undang-undang tentukan. Saya harap siasatan yang telus dapat dijalankan,” katanya. – WD MY