GENEVA, 15 Mac – Bom…… Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kerajaan Syria sengaja mengebom sumber air di Ain al-Fijeh, pada Disember lalu dan menyifatkan serangan itu sebagai satu jenayah perang.

“Maklumat yang diperoleh pihak suruhanjaya mengesahkan bahawa pengeboman sumber air Ain al-Fijeh dilakukan oleh Tentera Udara Syria,” kata Suruhanjaya Siasatan PBB mengenai Syria .

Laporan itu juga menolak tuduhan rejim bahawa pasukan pemberontak yang bertanggungjawab mencemarkan sumber air itu.

Kira-kira 5.5 juta penduduk di Damsyik dan kawasan pinggir bandar itu terputus bekalan air, ketika pertempuran memuncak di Wadi Barada pada Disember lalu.

Rejim Syria menuduh pemberontak meracuni sumber air dan merosakkan saluran, sementara pembangkang bersenjata berkata, pengeboman oleh tentera rejim memusnahkan kemudahan itu.

Beberapa pakar PBB yang tidak dibenarkan masuk ke Syria dan hanya meneliti temu bual dan dokumen berkata, mereka tidak menemui bukti bahawa sumber air itu dicemarkan, sebelum sumber air itu dibom pada 23 Disember lalu.

“Sebaliknya, mereka yang ditemubual berkata, penduduk Wadi Barada menggunakan air itu hingga pengeboman pada 23 Disember dan tiada siapa pun jatuh sakit akibat air tercemar.

“Pengeboman itu sendiri menunjukkan sumber air itu disasarkan secara sengaja,” kata laporan itu. – WD MY