TA Global Bhd Bakal Jual Pembangunan Hartanah Di Australia

0
141

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Jual…. Anak syarikat TA Global Bhd di Australia, TA Little Bay Pty Ltd, akan menjual hartanah pembangunannya di New South Wales, Australia, kepada Karimbla Properties Pty Ltd pada A$245 juta, atau kira-kira RM832.19 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TA Global berkata, penjualan itu akan membolehkan syarikat memanfaatkan nilai hartanah itu, yang belum dimajukan, pada kira-kira 29 peratus premium kepada nilai indikatif yang dibuat penilai dengan anggaran keuntungan sebelum cukai A$102 juta (bersamaan kepada kira-kira RM346.46 juta).

“Cadangan penjualan itu juga memberi peluang kepada TA Global untuk mengumpul dana bagi projek pembangunan hartanah yang sedang dijalankan, membeli hartanah/aset/perniagaan serta pembayaran balik pinjaman bank,” menurutnya.

TA Global berkata, hasil itu akan digunakan untuk, antara lain, modal kerja bagi projek pembangunan hartanah yang sedang dijalankan, pembelian hartanah/aset/perniagaan serta pembayaran balik pinjaman bank.

“Pembelian yang dicadang tersebut dijangka selesai pada suku keempat 2017,” menurut syarikat itu. – WD MY