KUALA LUMPUR, 25 JULAI – MILIKI…. Unit TA Global Bhd, Siam Resorts Company Ltd, membeli hotel dan perniagaan Four Points by Sheraton Bangkok, Sukhumvit 15, dengan harga RM299.92 juta daripada Destination Resorts Co Ltd.

Pembelian itu akan melengkapkan strateginya bagi mengembangkan lagi operasi hospitaliti di Bangkok, Thailand dan memantapkan operasi perniagaan sedia adanya di negara berkenaan.

Kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai oleh 40 peratus dana dalaman dan 60 peratus pinjaman luar dan dijangka selesai menjelang suku ketiga 2019.

“Syarikat menyedari prospek masa depan Bangkok sebagai pasaran pertumbuhan hospitaliti,” kata TA Global dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut syarikat itu, Bangkok menerima lebih 24.6 juta pengunjung antarabangsa pada 2018, merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun 7.8 peratus.

Industri pelancongan bandar raya itu terus berkembang berikutan pengembangan lapangan terbang yang boleh menampung 100 juta pengunjung menjelang 2024.

Dibuka pada 2010, hotel yang dibeli itu terletak di pusat bandar Bangkok dan berdekatan BTS Asok Skytrain dan Sukhumvit Metro Station, yang jaraknya hanya lima minit perjalanan daripada hotel.

Hotel itu juga diuruskan oleh Starwood Hotels & Resorts Worldwide Inc, anak syarikat Marriott International, pengendali terbesar dunia dan antara pemain utama dalam industri hotel Thailand. – WD MY