Taat Setia Dan Perpaduan Kepada Pemimpin Tertinggi Berjaya Selamatkan Umno – Hishammuddin

0
297
KUALA LUMPUR 03 DISEMBER 2016. Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Husein ketika pengulungan pada Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Taat Setia….. Pengorbanan dan taat setia yang diletakkan pada kedudukan tertinggi oleh ahli UMNO berjaya membantu parti keluar dari bibit perpecahan, setahun lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata soal pengorbanan dan taat setia adalah penting untuk terus dipertahankan semua ahli.

“Inilah azimat yang menjadikan UMNO tetap kukuh. Ianya bukan satu kebetulan tetapi satu ketentuan takdir.

“Takdir yang mengizinkan UMNO keluar daripada setiap kemelut menjadikan kita lebih gagah, lebih perkasa, lebih tegap dan mantap, untuk kekal sebagai wadah kelangsungan perjuangan bangsa Melayu dan umat Islam,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, perwakilan juga diseru menzahirkan kesetiaan sepenuhnya kepada parti dan kepimpinan.

“Kita ada satu bahtera, kita hanya ada satu nakhoda, dan ketua kita ialah Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO, Perdana Menteri kita.

“Pada hari ini juga, marilah kita memberikan sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pemimpin yang telah diberikan mandat untuk membantu Presiden dengan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri kita.

“Jangan lagi ada persoalan. Gendang sudah dipalu, semboyan sudah dibunyikan, kita berilah sepenuh komitmen, taat dan setia, kita laksanakan arahan kepimpinan kita pastikan gelombang yang kita wujudkan hari ini, akan menjadi tsunami menuju Pilihan Raya Umum ke 14,” katanya.
 – WD MY