BERA, FEB 25 –  TABIKA TRANSIT…Projek Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Transit kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan diperluaskan ke kawasan bandar dan pinggir bandar di seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu setakat ini, sebanyak 27 tabika Kemas dipilih sebagai projek rintis program itu bermula Januari lalu, antaranya di Putrajaya, Gombak (Selangor), Tangkak (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Program ini merupakan langkah kerajaan dalam membantu meringankan beban para ibu bapa. Selain waktu operasi tabika sehingga 5.30 petang sesuai dengan waktu berkerja ibu bapa.

“Keutamaan diberikan di kawasan bandar dan pinggir bandar kerana di sana ramai ibu bapa yang bekerja dan kita tahu bayaran penjagaan anak atau upah mengambil pembantu rumah bukan murah.

“Berlaku situasi ibu terpaksa berhenti kerja kerana sebahagian besar gaji habis untuk penjagaan anak sahaja… jadi kewujudan lebih banyak tabika transit memberi pilihan kepada mereka untuk terus bekerja tanpa risau dengan penjagaan anak,” katanya.

Beliau memberitahu kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar untuk perkembangan pendidikan awal kanak-kanak, iaitu menanggung RM250 bagi seorang pelajar tadika Kemas berbanding yuran bulanan yang dijelaskan ibu bapa sebanyak RM10 sebulan.

“Jika diikutkan, syarat untuk buka tadika Kemas kena ada sekurang-kurangnya 20 orang pelajar, namun di sesetengah kawasan terutamanya di kawasan Orang Asli, yang ada 10 kanak-kanak pun kita usahakan buka tadika supaya tiada yang ketinggalan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pelancaran tabika transit Kemas dijadualkan pada hujung Mac ini di Kuantan, Pahang.

Katanya modul pembelajaran di tabika transit ditentukan Jawatankuasa Aktiviti Tabika yang akan turut melibatkan permintaan daripada ibu bapa sama ada kemahiran mempertahankan diri, kelas agama dan fardu ain atau kelas bahasa ketiga yang menjurus kepada pembelajaran tambahan.

Beliau berkata pihaknya akan memperkasakan budaya kesedaran kebersihan di semua 11,119 tadika Kemas melibatkan lebih 220,000 pelajar supaya aspek kebersihan menjadi sebahagian daripada amalan hidup.

“Kita juga berkerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam modul kebersihan terutamanya dalam pengasingan sisa pepejal,” katanya. – MY WD