KUALA LUMPUR, 6 Dis – Tabung Pejuang Nadi Rakyat bagi menghargai perjuangan dan jasa anggota veteran Wanita UMNO akan dilancarkan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu ini, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Menurut Ketua Pergerakannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tabung itu bertujuan membantu dan membela kebajikan veteran wanita yang telah uzur dan sakit.

“Tabung ni kita wujudkan sebagai mengenang jasa pejuang kita yang
terdahulu, ketua dan pemimpin Wanita yang kini sudah berumur, sakit dan
sebagainya,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Biro
Politik Wanita UMNO di sini, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat hari ini memutuskan pelbagai program yang bakal
diadakan pergerakan itu sepanjang perhimpunan agung parti itu mulai esok,
antaranya Pameran Kaukus Penggubal Undang-undang dan Karnival Kesihatan.

Sementara itu, mesyuarat biro politik pergerakan itu hari ini bersepakat
untuk terus menyokong Najib dan akan berdiri teguh di belakangnya, katanya.

“Sokongan kami kepada Najib tetap teguh. Wanita UMNO sebagai tulang
belakang akan pertahankan kekuatan UMNO yang bermula dengan presidennya,”
kata Shahrizat.

Perhimpunan Agung parti itu akan berlangsung Selasa ini dengan majlis
taklimat presiden parti kepada anggota Majlis Tertinggi, Exco ketiga-tiga sayap,
Ketua, timbalan, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan dan bendahari
bahagian-bahagian UMNO, serta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian.

LEAVE A REPLY