BANGKOK, 30 Ogos – Polis Thailand hari ini telah menahan seorang
warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom
berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.

Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis,
Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat
tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2
petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek
berkenaan.

Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom
berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan
dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.

Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan
sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.

Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin
terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat
Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.

Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang
popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke
kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.

Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti
bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara
yang mengeluarkan pasport tersebut.

Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan
pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi
tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.

Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam
berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media
pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.

Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan
menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang
cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY