KLUANG, 23 Okt – Terus Perkukuh Pertahanan Negara….. Pihak Kementerian Pertahanan yakin peruntukan RM15.1 bilion yang disediakan menerusi Bajet 2017 dapat terus memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga kedaulatan negara.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata meskipun berhadapan keadaan ekonomi dunia tidak menentu, kementerian bersyukur kerana kerajaan terus memberi tumpuan khusus kepada bidang keselamatan dan pertahanan negara.

Katanya, daripada jumlah peruntukan yang diterima itu, sebanyak RM11.7 bilion adalah untuk perbelanjaan pengurusan, manakala RM3.37 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Sebanyak 48 projek yang sedang dilaksanakan ketika ini dapat diteruskan pada tahun depan.

“Antara projek berkenaan ialah pembinaan hangar pesawat Nuri Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), projek jalan Jiwa Murni di Sarawak, perolehan empat pesawat Airbus 400M serta perolehan Sistem Radar SOC3 bersama prasarana di Kota Samarahan, Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian selepas menghadiri majlis kesyukuran meraikan FELDA Ulu Penggeli yang muncul juara Anugerah Keceriaan Kampung FELDA (AKKF) Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Katanya, kementerian juga akan meneruskan usaha mengukuhkan kedudukan strategik di Sabah dan Sarawak, antaranya projek pembinaan Kem Tentera Darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di FELDA Sahabat, Lahad Datu dan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di kawasan sama, tahun depan. – WD MY