INDONESIA, 1 MEI – WAKIL RAKYAT…. Dalam diam-diam penyanyi terkenal Indonesia yang turut memiliki ramai peminat di Malaysia, Krisdayanti, berjaya mendapat undi yang mencukupi bagi melayakkannya bergelar wakil rakyat.

Dia yang bertanding dalam pilihan raya umum Indonesia pada 17 Apr lalu memenangi kerusi Malang Raya di Jawa Timur. Krisdayanti – yang lebih mesra disapa KD – bertanding menggunakan tiket Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Bagaimanapun sehingga hari ini penyanyi Menghitung Hari itu masih malu-malu untuk mengumumkan kejayaannya dan cuma memuat naik ucap selamat daripada teman-temannya di Insta Stories.

Antara yang memberi ucapan tahniah itu adalah bekas isteri Ahmad Dhani, Mia Estianty.

“Duh ini yang mau masuk parlimen, bahagianya jadi anggota parlimen, selamat ya,” ujar Maia saat kamera diarahkan ke Krisdayanti.

Krisdayanti, 44, pula dilihat tersenyum mendengar kata-kata sahabatnya itu.

Dia juga memuat naik imej dia bersama Renny Sutiyoso, anak perempuan bekas gabenor Jakarta, Sutiyoso.

Bertumit tinggi ke ladang

“Selamat ya mbak. Semoga amanah,” tulisan di Insta Stories Renny yang diulang siar Isteri kepada ahli perniagaan dari Timor Leste itu .

Sepanjang tempoh berkempen, Krisdayanti berusaha bersunguh-sungguh untuk melawat kawasan-kawasan di daerah yang ditandinginya bagi menarik sokongan rakyat.

Penyanyi yang juga pelakon kelahiran Kota Batu itu selama berbulan-bulan berulang-alik dari Jakarta ke Malang untuk memikat hati pengundi.

Namun sesekali kempen Krisdayanti mengundang sinis apabila dia tampil tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Misalnya dia berkasut tumit tinggi semasa melawat kawasan pertanian dan ladang jagung.

Selain Krisdayanti, penyanyi Mulan Jameela dan suaminya Ahmad Dhani juga dipercayai berjaya menjadi wakil rakyat. Kedua-dua mereka bertanding di atas tiket Parti Gerindra.

Tapi tidak seperti Krisdayanti, Mulan Jameela enggan secara terbuka mengakuinya. – WD MY