SANDAKAN, OGOS 9:MUAYTHAI….Anak kelahiran daerah ini, Riedzwan Norsyahmie Daud, 16, mengharumkan nama Sabah dan negara apabila meraih gangsa dalam kejohanan Muaythai Remaja Dunia (IFMA) 2018 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Fajar di sini, menewaskan petinju dari Russia dan Vietnam untuk mara ke separuh akhir, namun dia yang sepatutnya berdepan petinju Portugal kelmarin, terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Sabah, Mohamad Ajman Ajmain yang juga jurulatih Riedzwan, berkata kejohanan itu membabitkan 86 negara dari seluruh dunia dan Riedzwan bertanding bagi kategori 51 kilogram.

Katanya, remaja terbabit mula menceburi sukan Muaythai sejak berusia 13 tahun di gimnasium latihan 66 Unicorn, di sini.

“Tahun ini, Malaysia berdepan laluan sukar dalam undian kerana terpaksa menghadapi saingan kuasa besar sukan Muaythai iaitu Russia, Thailand dan Vietnam. Kita cuma menyasarkan pingat dan syukur, Riedzwan mampu membawa balik gangsa untuk Malaysia,” katanya.

Tahun lalu, Riedzwan mendapat pingat gangsa pada kejohanan sama di Bangkok serta pingat emas dalam kejohanan Seni Mempertahankan Diri Remaja Dunia di Incheon, Korea Selatan.

Riedzwan juga johan dalam kejohanan Muaythai Remaja Kebangsaan tahun ini.-MY WD