KOTA KINABALU:TAHNIAH…Pencapaian guru kelahiran Kota Belud, Sirhajwan Idek, 30, melakar empat anugerah bertaraf antarabangsa termasuk yang terbaru di Dubai, membuktikan guru di negara ini mampu mengangkat profesion perguruan negara ke tahap yang tinggi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kejayaan beliau juga menunjukkan guru di negara ini mencapai tahap cemerlang yang membanggakan negara.

“Ini anugerahnya yang keempat, sebelum ini dia pernah dapat dua anugerah di London dan pada tahun lalu satu anugerah di Paris.

“Sebagai Menteri Pendidikan dan bagi pihak Kementerian Pendidikan saya mengucapkan tahniah kepada Sirhajwan.

“Ini menunjukkan guru di Malaysia juga cemerlang dan mampu mengangkat kerjaya ini ke persada antarabangsa,” katanya selepas menyambut kepulangan Sirhajwan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam ini.

Beliau mendapat anugerah Award for Citizenship Global Educational Supplies and Solutions (GESS) yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, kelmarin kerana sumbangan beliau kepada komuniti melalui pendidikan.

Pada 22 September tahun lalu beliau mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School, Paris.

Sementara itu, Sirhajwan berkata, kemenangannya memberikan persepsi yang positif terhadap kerjaya guru di negara ini selain turut membuktikan guru di Malaysia juga memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.- MY WD