KUALA LUMPUR,OGOS 16:PAKATAN HARAPAN…Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memohon maaf kepada rakyat walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam 100 hari yang menjadi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan berusaha memastikan segala janji terlaksana.

Katanya, ada antaranya sudah ditunaikan seperti meluluskan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Rakyat, selain pemberian insentif kepada suri rumah menerusi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

“Tidaklah (PH perlu mohon maaf pada rakyat). Memang ia tidak seperti yang kita harapkan, namun kita sudah cuba sedaya upaya.

“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat i-Suri dan berjaya mempromosi serta menjalankan program itu.

“Bukan mudah melaksanakan semua kerana kita tidak ada cukup maklumat (ketika menjadi pembangkang) untuk menyelesaikan masalah.

“Saya bukan memberi alasan mengapa kami tidak mencapai sasaran tapi kami cuba dengan sedaya-upaya,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen, hari ini.-MY WD