KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 10:KERUSI… Seorang pemimpin PKR menyifatkan tindakan mengosongkan kerusi demi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke arena politik bukan satu kesalahan.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, berkata jika pemimpin itu lebih layak dan berkemampuan untuk melakukan perubahan di kawasan itu, individu itu perlu diberi ruang untuk berbuat demikian.

Katanya, bukan saja perubahan setempat, tetapi rakyat perlu melihat ‘comeback’ oleh Anwar di kerusi tertentu adalah titik tolak kepada bekas timbalan perdana menteri itu untuk melakukan perubahan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya masuk parti untuk melakukan perubahan. Bandingkan saya dengan Anwar. Memang beliau lebih penting untuk melakukan perubahan.

“Dari segi perubahan, siapa lebih berkesan untuk mencapai perubahan? Saya atau Anwar? Kalau memang mereka mengundi untuk perubahan, lebih penting beri laluan kepada Anwar.

“Memang kita hendak memberi laluan kepada pemimpin yang akan melakukan apa yang kita tidak boleh buat. Anwar yang memulakan gerakan reformasi. Kalau benar-benar hendak menjadi perjuangan ini berjaya, tidak ada masalah untuk memberi laluan kepada Anwar,” katanya kepada NSTP dalam satu wawancara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, William Leong berkata, keputusan Anwar untuk bertanding semula tidak seharusnya dilihat dalam persepsi yang sempit.

Sebaliknya, beliau mahu rakyat meneliti keputusan Anwar dengan melihat beliau bukan sebagai seorang individu tetapi matlamat yang lebih besar dan holistik yang mahu dicapai.

“Sebelum ini ramai melihat PKR adalah parti Anwar. Tetapi kalau kita lihat dengan teliti, bukan Anwar sebagai individu tetapi dasar yang kita hendak capai.

“Kita lihat daripada dasar dan bukannya berdasarkan individu itu. Dalam manifesto atau reformasi selama 20 tahun ini, kita lihat kepada apa yang kita hendak capai iaitu perubahan melalui gerakan reformasi.

“Bukan untuk individu sebab kita hendak Anwar menjadi perdana menteri. Apa yang kita mahu lihat adalah apakah janji yang akan dilakukan oleh Anwar,” katanya.-MY WD