KUALA LUMPUR, OKTOBER 23: TISU….Menggunakan pemikiran “di luar kotak” salah seorang pemimpin kanan PAS berkata ada kemungkinan kekecohan yang berlaku dalam sesi dialog perdana menteri dengan pemandu teksi semalam dirancang lebih awal.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata mungkin kekecohan yang berlaku itu didalangi oleh penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengakui melihat insiden itu dari “pinggiran” saja Mokhtar berkata kemungkinan lain yang berlaku ialah perancangan tersebut dibuat tanpa pengetahuan Dr Mahathir sendiri.

“Saya terfikir, apa kata kalau kekecohan itu sengaja dilakukan oleh orang yang pro kepada Tun (Dr Mahathir) sendiri,” katanya melalui hantaran di media sosial.

Rasional Mokhtar, kejadian itu dibuat supaya wujud satu gerakan untuk mempertahankan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Katanya jika itu berlaku Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menunggu lebih lama untuk menjadi perdana menteri.

Mokhtar yang terkenal sebagai tokoh ulama PAS mengulas kekecohan yang berlaku pada sesi dialog dihadiri Dr Mahathir dan pemandu teksi di Langkawi semalam.

Majlis yang dihadiri kira-kira 200 pemandu teksi tersebut bertukar kecoh apabila sebahagian daripada mereka mengeluarkan kata-kata kesat kepada perdana menteri.

Mereka kemudian meninggalkan majlis berkenaan yang diadakan untuk mencari penyelesaian berhubung isu persaingan di antara teksi dan perkhidmatan Grab.

Kata Mokhtar insiden itu dianggap pelik kerana menampakkan beberapa kejanggalan.

Antaranya kata Mokhtar ialah kekecewaan Dr Mahathir sehingga perdana menteri membayangkan kesediaannya meletak jawatan.-MY WD